MELAKA: Pasangan suami isteri yang kehilangan anak sulung akibat tragedi di taska tahun lalu tidak menyangka dikurniakan rezeki berganda apabila menerima kehadiran tiga cahaya mata perempuan serentak hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan khas Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tiga bayi perempuan itu selamat dilahirkan secara pembedahan di Hospital Melaka, jam 9.40 pagi semalam, selepas ibunya, Sabrina Hakiem, 40, yang juga seorang guru, berada dalam wad selama 73 hari bagi pemantauan rapi.
Suaminya, Mejar Mohd Fikry Amri, 40, berkata kelahiran itu adalah anugerah terbesar buat mereka selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh Amri yang meninggal dunia di taska pada 6 September tahun lalu ketika berusia lapan bulan.
“Perasaan memang gembira dan teruja… macam tak percaya bila dapat tahu bukan dua, tapi tiga sekali gus,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd Fikry, segalanya bermula pada Februari lalu apabila Tunku Azizah sendiri menghubungi mereka dan menawarkan tajaan rawatan IVF di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
“Masa itu memang terkejut dan terharu apabila Tunku Azizah sendiri sudi membantu. Isteri pula ketika itu masih dalam kemurungan selepas kehilangan anak. Kami akhirnya menerima tawaran itu dan rawatan bermula pada Mac.
“Kami kemudian menerima berita kehamilan pada 17 April lalu, namun tidak mengetahui ia adalah kembar tiga.
“Waktu rawatan, dua embrio dimasukkan dan berjaya disenyawakan. Tetapi ketika pemeriksaan di sebuah hospital swasta di Melaka pada 16 Mei, doktor terkejut apabila mendapati ada tiga janin dalam rahim isteri. Satu embrio pecah menjadi dua,” katanya.
Mohd Fikry berkata, sebelum isterinya dimasukkan ke Hospital Melaka, beliau terlebih dahulu dirawat di Hospital Putrajaya selama sebulan akibat pendarahan ketika mereka berada di Southville City, Dengkil.
“Selepas 17 hari di Putrajaya, kami minta rawatan susulan dibuat di Hospital Melaka kerana saya bekerja di Terendak, Melaka. Sepanjang tempoh itu, saya ulang-alik menjaga isteri dan urusan kerja.
“Di Melaka pemeriksaan dilakukan di dua hospital iaitu hospital kerajaan dan swasta secara bergilir setiap dua minggu bagi memastikan keadaan ibu serta bayi stabil.
“Selepas disahkan mengandung kembar tiga, doktor di hospital swasta menasihatkan supaya isteri bersalin di Hospital Melaka kerana kes ini berisiko tinggi,” katanya.
Katanya, pada Jumaat pagi semalam, doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan selepas usia kandungan mencecah 31 minggu, bagi mengelakkan komplikasi.
Bayi pertama seberat 1.8 kilogram (kg) dilahirkan pada jam 9.40 pagi, diikuti bayi kedua 1.78kg (9.42 pagi) dan bayi ketiga 1.93kg (9.46 pagi) dan ketiga-tiganya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan selama sebulan.
“Yang lebih menyentuh hati, lima minit sebelum pembedahan, Tunku Azizah sempat menghubungi kami untuk memberi semangat kepada isteri serta berbual dengan doktor dan jururawat,” katanya.
Beliau turut mengimbas kembali pemergian anak sulungnya yang juga berlaku pada hari Jumaat dan menyifatkan kelahiran kembar tiga itu sebagai tanda kebesaran Allah SWT.
Katanya, pihak hospital turut memaklumkan bahawa kes kelahiran kembar tiga itu adalah jarang berlaku dan pernah direkodkan sebelum ini.
“Isteri dan anak-anak kini dalam keadaan baik. Kami amat bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan serta bantuan Tunku Azizah yang menjadi asbab kepada kelahiran tiga puteri kami,” katanya.
Sumber : Bharian

