OLEH AD Zafir
KUANTAN, 21 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berjaya merampas kira-kira 114,430 ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, nilai rampasan tersebut dianggarkan sebanyak RM3 juta membabitkan operasi serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di 385 premis.
Menurutnya, Jerantut mencatat rekod rampasan ubat dan kosmetik haram tertinggi dengan nilai kira-kira RM1 juta, bagi tempoh sama.
“Bagi tahun ini kita berjaya membuat serbuan membabitkan 42 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM13,340 unit ubat dan kosmetik haram dengan nilai sebanyak RM230,000.
“12 Jun lalu, kami telah melakukan serbuan menerusi Ops Shine di Temerloh dan Kuantan membabitkan dua premis dengan rampasan bernilai RM193,000.
“Selain itu, turut dirampas dalam serbuan tersebut termasuk peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sahabat Ubat Pahang (SOBAT) di pejabat JKNP, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nor Azimi berkata, SOBAT dilaksanakan ekoran peningkatan trend pemasaran penjualan ubat dan kosmetik haram menerusi atas talian.
Jelasnya, melalui SOBAT dapat memperhebatkan lagi pembentarasan barangan tersebut di pasaran di negeri ini.
“SOBAT Pahang merupakan satu one-stop centre untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan ke CPF Pahang dan mendapatkan maklumat berkenaan ubat berdaftar dan kosmetik bernotifikasi.
“Orang awam hanya perlu mengimbas QR code untuk mengakses pautan SOBAT Pahang. QR code ini telah diedarkan di premis-premis farmasi komuniti dan klinik perubatan swasta dan akan diperluaskan edaran ke seluruh negeri Pahang,” katanya. – nasionalkini.my