KUALA BERANG, 30 Julai – Kelibat seekor beruang yang kerap dilihat berkeliaran di Kampung Kemat dekat sini mengakibatkan penduduk berdepan kebimbangan haiwan berkenaan boleh mengancam mereka.
Memetik laporan Berita Harian, penduduk kampung berkenaan, Kamaruddin Ali, 61, berkata lebih lima kali penduduk terserempak dengan haiwan liar itu yang dilihat merayau-rayau di sekitar kampung.
Beliau berkata, kali pertama seorang penduduk yang juga pengusaha sebuah kantin sekolah melihat beruang terbabit pada kira-kira jam 4 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
“Kejadian terbaru berlaku dua hari lalu oleh petugas parti yang pulang daripada memasang poster dan bendera, terkejut apabila terserempak dengan haiwan berkenaan yang berada di bahu jalan.
“Penduduk yang baru selesai memasang bendera parti itu tidak berani meneruskan perjalanan pulang ke rumah, sebaliknya menunggu dulu sehingga beruang itu berlalu memasuki kawasan semak.
“Sekarang musim pilihan raya, petugas politik biasanya menghabiskan masa pada waktu malam dengan memasang bendera di sekitar kampung dan tindakan itu kini mengundang bahaya.
“Kita bimbang kejadian tidak diingini berlaku jika beruang itu muncul ketika petugas sedang memasang bendera pada waktu malam,” katanya.
Katanya, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan susulan.
“Penduduk berharap haiwan itu dapat ditangkap dan dipindahkan ke kawasan selamat bagi memastikan ia tidak mengancam keselamatan penduduk kampung ini,” katanya. – nasionalkini.my


