MELAKA, 31 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 bagi melarang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.
Usul mengenai akta berkenaan dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan menetapkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada parti disertainya ketika pilihan raya, perlu mengosongkan kerusi dimenangi mereka.
Bagaimanapun, pada pindaan terbabit, ADUN berkenaan boleh menyertai pilihan raya berbanding sebelum ini yang menetapkan mereka menunggu selama lima tahun untuk membolehkan beliau bertanding semula dalam pilihan raya.
Ab Rauf berkata, pindaan dalam Perlembagaan Negeri Melaka itu membabitkan beberapa perkara baharu termasuk pertukaran parti politik oleh ADUN yang layak mengikut Perkara 12, disenaraikan dalam Perkara 13A bahawa mereka akan kehilangan kelayakan sebagai ahli Dewan.
Beliau berkata, Perkara 13A dalam Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 juga memperuntukkan apabila seseorang ADUN hendaklah terhenti daripada jawatan itu dan kerusinya hendaklah dikosongkan sebaik sahaja satu tarikh kekosongan luar jangka disahkan oleh Speaker DUN di bawah Fasal (3).
“Mana-mana ADUN yang melepaskan keahliannya, boleh untuk bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya sebagai ADUN.
“Tiada sebarang implikasi kewangan yang diperlukan bagi tujuan pindaan Enakmen ini,” katanya ketika membentangkan usul pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.
Usul berkenaan kemudiannya mendapatkan sokongan semua ADUN yang hadir, termasuk dua wakil pembangkang. – nasionalkini.my


