GEMAS, 18 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2023 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin di sini hari ini.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Bernama melaporkan, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Sebanyak 40 unit melibatkan 2,660 pegawai dan anggota terbabit dalam latihan itu bersama 106 aset dan persenjataan, termasuk Perisai Pendekar PT-91M, AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan dan pesawat Helicopter Super Lynx serta AS555 Fennec.
LKT itu antara lain bertujuan memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan. – nasionalkini.my