KOTA BHARU, 30 Julai – Sebanyak 111 unit peranti defibrillator luaran automatik (AED) dijangka akan dapat dipasang di seluruh negara sehingga akhir tahun ini, bagi membantu mangsa serangan jantung.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata, setakat ini, sebanyak 73 unit AED sudah dipasang termasuk di pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, sekolah, tempat ibadat dan pejabat kerajaan.
“Projek komuniti AED ini dilancarkan St John Ambulans Malaysia (SJAM) pada 2019 dan pemasangan peranti bermula 2020 untuk membantu pesakit jantung mendapatkan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
“Sehingga Julai ini, sebanyak 73 unit AED ditempatkan di Lembah Klang dan pada masa sama, kita meletakkan pembantu perubatan bersama SJAM.
“Hari ini buat pertama kalinya kita berikan tiga unit AED yang ditempatkan di luar dari kawasan Lembah Klang iaitu di Kelantan membabitkan di Masjid Al-Fattah, Pasar Besar Siti Khadijah dan Kompleks Belia dan Sukan Panji,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Lawatan ke Pusat Operasi Perkhidmatan Rawatan Pra Hospital dan Ambulans (PRPA) ‘Hotspot’ Kota Bharu sempena Hari Terbuka dan Program Komuniti Masyarakat SJAM di Masjid Al-Fattah di Kampung Nilam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sebanyak 20 lokasi PRPA ‘Hotspot’ ditempatkan di seluruh negara setakat ini yang dikendalikan SJAM. – nasionalkini.my


