TEBING BARAT, 15 Ogos – Peneroka Yahudi terus bertindak agresif dengan menyerbu sebuah sekolah yang pernah diancam untuk dirobohkan tentera pengganas Israel di timur Tebing Barat.
Memetik sumber berita WAFA, beberapa peneroka haram menyerbu sekolah Ras Al-Tin dan memecahkan tingkap serta memusnahkan harta benda pada bangunan sekolah berkenaan.

Sekolah itu terletak di kawasan komuniti Badwi di kampung Kafr Malik, Khirbet Abu Falah di timur Ramallah yang menempatkan lebih 50 murid berusia lima hingga 13 tahun.
Pada Oktober 2020, pihak berkuasa Israel mengarahkan sekolah itu dirobohkan dengan alasan pembinaan bangunan dibuat di kawasan yang dikuasai penuh Israel.
Kementerian Pendidikan Palestin dalam satu kenyataan mengecam pencerobohan itu serta menyifatkan tindakan berkenaan sebagai perbuatan keji dan hina.
“Ini adalah pencabulan terang-terangan terhadap hak pelajar untuk mendapatkan akses pendidikan selamat dan percuma,” menurut kenyataan itu.

