SAN ANTONIO, 30 Jun – Seorang profesor biologi di sebuah kolej komuniti di Texas, Amerika Syarikat (AS) yang mengajar mengenai jantina ditentukan oleh kromosom X dan Y dilaporkan telah dipecat selepas empat pelajarnya bertindak meninggalakn kuliah pengajian berkenan.
Memetik portal Fox News, Profesor Dr. Johnson Varkey yang mengajar di Kolej St Philip San Antonio dipecat pada Januari lalu.
Aduan terhadap Dr. Varkey menyebut yang beliau didakwa terlibat dalam “dakwah agama, komen diskriminasi tentang homoseksual dan individu transgender, retorik anti-pengguguran dan gurauan misoginis”.
Malah, beliau juga dikatakan “melampaui batas kebebasan akademik dengan pendapat peribadi yang menyinggung perasaan ramai individu di dalam dewan kuliah.
Sedangkan beliau mengajar daripada sukatan pelajaran yang diluluskan kolej dan berasaskan sains, Kolej St. Philip namun tetap mendakwa pengajarannya itu berunsur keagamaan.
Susulan itu, sebuah firma guaman yang mempertahankan kebebasan beragama untuk rakyat Amerika, First Liberty Institute menghantar surat kepada kolej tempat Dr Varkey mengajar dan menuntut penjelasan pemecatan tersebut selain menuntut jawatan itu dikembalikan.
First Liberty Institute mendakwa Dr Vaarkey telah mengajar selama 20 tahun tanpa sebaran insiden dan aduan.
“Ketika mengajar sistem pembiakan manusia, Dr. Varkey juga menyatakan bahawa jantina manusia ditentukan oleh kromosom X dan Y, dan pembiakan mesti berlaku antara lelaki dan perempuan untuk meneruskan spesies manusia,” kata First Liberty menerusi surat itu.
Dalam hujah First Liberty, pihaknya menekankan yang Dr. Varkey tidak pernah membincangkan pandangan peribadinya mengenai agama, jantina atau seksualiti manusia dengan mana-mana pelajarnya.
Sebaliknya, pengajarannya hanya berlandaskan pendidikan, pengalaman dalam bidangnya.
Malah First Liberty menyifatkan tindakan kolej itu ialah satu bentuk diskriminasi yang menyalahi undang-undang pekerjaan di bawah Pindaan Pertama dan Tajuk VII Akta Hak Sivil 1964.
Peguam First Liberty Institute, Keisha Russell dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan yang dikenakan pensyarah veteran berkenaan adalah tidak masuk akal memandangkan beliau telah mengajar lebih 20 tahun sedangkan beliau mempunyai rekod prestasi yang dicontohi sepanjang tempoh itu.
“Kolej itu melanggar hak perlembagaan dan undang-undang Dr. Varkey apabila ia memecatnya, dan mereka mesti mengembalikannya dengan segera”. – Agensi