in ,

UPSI laksana e-Perkasa SPM 2026 bantu 664 anak warga ATM

WhatsApp Image 2026 05 14 at 12.40.54 PM
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (empat dari kanan) ketika menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM376,488 kepada Dr. Md Amin (tiga dari kanan) pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur

oleh Bazli Razak

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti pendidikan negara apabila diberi kepercayaan melaksanakan Program e-Perkasa SPM 2026, inisiatif pendidikan strategik Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membantu anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan Yayasan LTAT dalam memastikan kebajikan pendidikan keluarga ATM terus diperkasa menerusi akses kepada pembelajaran berkualiti dan sokongan akademik yang menyeluruh.

Beliau berkata kerjasama strategik melibatkan institusi pendidikan tinggi seperti UPSI mampu memperluaskan peluang pendidikan kepada anak-anak warga ATM, khususnya mereka yang memerlukan bimbingan tambahan bagi meningkatkan pencapaian akademik.

“Program seperti e-Perkasa SPM bukan sahaja membantu meningkatkan kesiapsiagaan pelajar menghadapi peperiksaan, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, motivasi serta masa depan generasi muda keluarga ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini.

WhatsApp Image 2026 05 14 at 12.41.29 PM
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan LTAT termasuk sumbangan berjumlah RM376,488 kepada UPSI bagi pelaksanaan Program e-Perkasa SPM 2026.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, peningkatan penyertaan daripada 80 pelajar pada tahun lalu kepada 664 pelajar tahun ini membuktikan keyakinan tinggi Yayasan LTAT terhadap keupayaan universiti itu menyediakan sokongan akademik yang sistematik, berstruktur dan berkualiti.

Dr. Md Amin berkata program berkenaan bukan sekadar platform tuisyen dalam talian, sebaliknya menjadi model intervensi pendidikan digital yang menyeluruh menerusi penggunaan teknologi pembelajaran, analisis prestasi, pemantauan akademik dan pendekatan mentor-mentee.

“UPSI komited untuk terus memainkan peranan sebagai peneraju pendidikan negara dengan menterjemahkan kepakaran akademik, pedagogi dan khidmat komuniti kepada program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya keluarga ATM,” katanya.

Program e-Perkasa SPM 2026 dilaksanakan bermula April hingga Oktober 2026 menerusi pendekatan pembelajaran digital melibatkan lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

ef4be783 c1be 4401 b33f 0b2fa64d9e58
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) ketika menyempurkan gimik perasmian Majlis Peluncuran Program PROWIRA – Ready to Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur

Bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI dipertanggungjawabkan sebagai fakulti pelaksana utama dengan kerjasama UPSI Holdings Sdn. Bhd.

Antara komponen utama program ialah kandungan pembelajaran komprehensif, analisis prestasi pelajar, intervensi akademik awal, laporan analitik pembelajaran serta dashboard pengurusan bagi memastikan setiap pelajar menerima sokongan mengikut tahap pencapaian masing-masing.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI
14 MEI 2026

bhgunung132 1778652625

Tengku Hassanal cipta sejarah tawan puncak Kinabalu

360 F 702775304 0Tk3kbo8rc4AG5oof9vJl4LMz3i0DA5E

Penjawat awam rugi RM100,000 angkara pelaburan ‘kilat’