Oleh AD Zafir
KUANTAN, 11 Julai – Penduduk sekitar Taman Pandan Aman 2, dekat sini, mendakwa hampir setiap hujung minggu mereka masih berdepan masalah tekanan air rendah sejak tujuh tahun lalu.
Keadaan itu belum menampakkan sebarang perubahan sedangkan laporan berkenaan masalah tersebut telah diadukan kepada pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) Berhad.
Penduduk mula kecewa dan tertekan berikutan tiada sebarang tindakan susulan daripada pihak yang bertanggungjawab malahan sehingga kini belum ada tanda masalah itu akan segera diselesaikan.
Perkara tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan perumahan itu terletak hanya lebih kurang 15 kilometer daripada pusat bandar.
Seorang penduduk di situ, Mohamad Arif Hamzah, 38, berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos tambahan agar mendapat bekalan air secukupnya.
Jelasnya, dia memasang pam air berasingan pada batang paip utama rumah miliknya bagi menambahkan tekanan air.
“Buat masa ini, hanya beginilah cara untuk atasi masalah tekanan air rendah kalau tidak memang tak adalah air untuk digunakan di dapur atau untuk urusan harian lain,” katanya ketika ditemui Nasionalkini, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Faridah Husin, 58, berkata, pihak PAIP memberi alasan penggunaan air terlalu tinggi di kawasan berkenaan hingga menyebabkan tekanan air menjadi terlalu rendah.
Katanya lagi, masalah tersebut sudah menjadi lebih buruk apabila penduduk sudah mula mendapat gangguan bekalan air pada hari bekerja.
“Jawapan itu pernah diberikan pihak PAIP apabila kami buat aduan, masalahnya isu tekanan air rendah ini bukan hanya berlaku hujung minggu, tapi hari biasa (bekerja) pun sama juga.
“Bagi saya alasan penggunaan air terlalu tinggi pada hujung minggu bukanlah jawapan bijak… rasanya di Kuala Lumpur lagi ramai orang, banyak penggunaan air setiap hari.
“Jadi, saya harap sangat pihak PAIP atau kerajaan negeri boleh memberi perhatian dan membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, isu itu akan dibangkitkannya kepada kerajaan Pahang dalam masa terdekat.
Katanya, penduduk berkemungkinan sudah banyak bersabar dalam hal ini dan sepatutnya perkara tersebut sudah ada tindakan penyelesaiannya.
“Untuk hari ini, kami sudah meminta pegawai berkaitan dari PAIP datang dan melihat sendiri masalah dihadapi penduduk di sini.
“Saya sendiri pun baru dimaklumkan mengenai isu berkenaan malam tadi dan sudah tentu satu jalan penyelesaian perlu dicari,” katanya ketika ditemui selepas meninjau masalah berkenaan di kawasan terbabit. – nasionalkini.my