LONDON, 5 Ogos – Gary Lineker menggesa Harry Kane mengikut jejaknya dengan meninggalkan England dan berkelana ke Eropah.
Bekas pemain England itu turut mencadangkan, perpindahan ke kelab Jerman, Bayern Munich adalah langkah terbaik buat bintang Tottenham berkenaan.
Kane menjadi buruan juara Bundesliga itu yang sudah membuat tawaran terakhir bernilai 86 juta pound (RM497.31 juta) tetapi masih belum ada keputusan daripada Spurs.
Kapten England itu pasti akan menamatkan kemarau trofinya jika menyertai Bayern dan Lineker berkata, sekarang adalah masa yang sesuai untuk dia berpindah ke Munich.
“Saya rasa Kane akan meninggalkan Tottenham, dan dia perlu melakukannya. Saya rasa dia mahu pergi dan mereka akan merealisasikannya.
“Sekarang adalah masa yang sesuai, kelab yang tepat juga sedang menantinya.
“Munich kota yang indah dan Bayern adalah salah sebuah kelab hebat dalam dunia bola sepak.
“Alan Shearer pasti mahu menghantar Harry ke lapangan terbang kerana dia mahu rekod jaringannya di Liga Perdana Inggeris kekal.

“Tetapi Harry sudah meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak England dan Tottenham.
“Sukan ini adalah berkenaan pasukan memenangi kejuaraan berbanding rekod individu, dan ia adalah apa yang Harry perlukan.
“Saya tidak nampak Spurs akan menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim depan.
“Jika Harry tidak menang trofi di Bayern, mungkin dia yang membawa badi,” kata Lineker kepada Agensi.
Kane hanya menyarung jersi Tottenham sepanjang karier profesionalnya, namun pernah dipinjamkan ke Millwall, Leyton Orient, Norwich dan Leicester, sebelum mencipta nama sebagai salah seorang penjaring terhebat di Liga Perdana Inggeris.
Pemain 30 tahun itu meledak 280 gol dalam 435 penampilan untuk Spurs dan memenangi tiga gelaran penjaring terbanyak liga, tetapi belum menjulang sebarang piala untuk pasukan.
Bayern, yang dikendali Thomas Tuchel, memenangi kejuaraan Bundesliga sejak 10 tahun lalu dan turut menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2020.
Lineker meninggalkan Everton untuk menyertai Barcelona pada tahun 1986, menikmati tiga tahun penuh kejayaan di Nou Camp.
Pengulas sukan ittu juga turut membarisi skuad Tottenham yang memenangi Piala FA terakhir Tottenham pada tahun 1991.- nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN