in

Kesungguhan Azmier membuahkan hasil

Azmier meminati dunia solekan sejak kecil dan mencipta nama sejak 2013

MINAT dalam bidang solekan sudah tercetus sejak kecil dan membawa anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini melakar nama ke peringkat antarabangsa.

Azmier Hisyamuqris Juadio Mading, 31, berasal dari Lahad Datu, Sabah, bukan hanya dikenali dalam kalangan agensi model tempatan, tetapi turut menjadi pilihan syarikat produksi di Indonesia.

Bakat Azmier mendapat perhatian di Indonesia

“Alhamdulillah, tahun ini saya banyak berulang alik ke sana (Indonesia).

“Kebanyakan model dan syarikat produksi di sana memberi peluang kepada saya untuk bekerja dengan mereka,” katanya ketika ditemui wakil nasionalkini.my baru-baru ini.

Nama Azmier juga tidak lagi asing dalam dunia peragaan tempatan kerana dia sering menjadi pilihan penganjur acara berprestij seperti pertandingan ratu cantik dunia peringkat Malaysia.

Azmier pernah menjadi penghias muka depan majalah hiburan di Indonesia bersama pelakon dan penyanyi terkenal, Dewi Persik

Ditanya kenapa dia memilih bidang solekan, Azmier memberitahu, ia adalah sesuatu yang sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

“Semua orang suka kelihatan cantik dan saya juga minat dengan kerja solekan sejak di bangku sekolah.

“Bagi saya, solekan itu adalah satu cara kita melakukan ekspresi diri, mencipta obsesi terhadap kecantikan.

“Jadi, sejak itu saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan paling memberi kepuasan apabila hasil kerja dihargai individu yang menggunakan khidmat kita,” katanya lagi.

Peserta pertandingan Ratu Dunia 2022 Karolina Bielawska antara yang pernah menggunakan perkhidmatan Azmier

Azmier turut menganggap bidang solekan adalah satu bidang yang unik dan menarik.

Katanya, kerjaya itu memberi peluang kepadanya untuk menambah kenalan dan belajar perkara baru.

“Bidang ini bukan terlalu mengikat kita, bebas berkarya dan boleh berjumpa dengan pelbagai jenis orang.

“Hubungan antara kami juga sangat rapat dan kami berjaya mencipta komuniti tersendiri yang sama-sama meminati bidang ini,” katanya.

Dia turut menasihatkan golongan belia yang ingin menceburi bidang solekan untuk berusaha mencapai impian mereka.

Selain mencipta nama di Indonesia, Azmier juga sering diundang ke Thailand

Katanya, bidang berkenaan mempunyai masa depan yang cerah jika kena dengan cara dan pendekatan.

“Jadilah diri sendiri, yakin dengan apa yang anda lakukan dan paling penting ‘be relevant’.

“Sentiasa ingat bahawa kepakaran adalah DNA kepada seseorang. andai ditiru oleh orang lain, ia tidak akan sama dengan kepakaran yang asal,” katanya.- nasionalkini.my

Belia perlu rebut peluang bidang TVET

10 OKU tawan Bukit Panau