in

Demi balik kampung di Aidilfitri sanggup naik ‘bas loncat’

bas loncat 2

Oleh Ahmad Abd Hamid


“Tiket bas ekspres sudah habis. Tiket kereta api pun habis”. Aduh! Bagaimana hendak balik kampung berhari raya? Teksi mahal pula kalau dari Kuala Lumpur ke destinasi. Naik motosikal abang tak bagi. Bahaya katanya.


Inilah masalah yang sering dihadapi penulis untuk balik kampung pada hari raya sejak menapak kaki di Kuala Lumpur pada awal tahun 70-an kerana sambung belajar, dan seterusnya mencari rezeki di ibu negara.


Ada kalanya penulis balik tumpang abang. Namun penulis lebih suka balik sendiri, tidak mahu ganggu abang dan keluarga. Lagi pun ada tahunnya abang berhari raya di rumah mentua terlebih dahulu sebelum balik kampung. Jadi terpaksalah penulis cari jalan sendiri.

BAs
Kepenatan turun naik bas tiba-tiba menghilang sejurus tiba kampung halaman sendiri. Gambar hiasan


Sebenarnya, pengangkutaan awam tidak pun terus sampai ke kampung penulis. Ini kerana kampung penulis, Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak, jauh di pedalaman. Yang paling hampir ialah dengan menaiki bas ekspres Syarikat Pengangkutan Terus (SPT) Kuala Lumpur—Sabak Bernam—Teluk Anson (Teluk Intan).


Perlu diingat ketika itu belum ada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Juga tidak ada keretapi elektrik seperti sekarang. Kenderaan ke utara atau selatan kena gunakan jalan persekutuan. Pada musim perayaan jalan persekutuan memang sesak kerana itulah satu-satunya laluan utama yang ada.


Kereta api pula tren biasa dengan perkhidmatan seperti Senandung Malam dan Sinaran Pagi. Dulu-dulu penumpang melimpah, terutama di kelas tiga. Semuanya ada tiket ke? Tidak ada pendingin hawa. Bahang terasa. Ada yang menggantung buaian untuk anak tidur. Ada yang tidur atas lantai. Maklum perjalanan jauh.


Bas ekspres SPT memulakan perjalan dari Hentian Puduraya Kuala Lumpur melalui jalan Kuala Selangor. Ketika itu tiada jambatan merentas sungai di Kuala Selangor. Yang ada hanya feri dengan barisan panjang kenderaan untuk menyeberang.


Namun bas SPT mungkin ada penjanjian yang membolehkan ia memintas semua kenderaan lain dan naik dahulu atas feri. Dalam perjalanan, bas ini menurunkan penumpang di pekan Sungai Besar dan Sabak Bernam.


Selepas Sabak Bernam, sekali lagi akan perlu merentas sungai, iaitu Sungai Bernam yang merupakan sempadan semula jadi negeri Selangor dan Perak. Sekali lagi bas SPT mendapat keistimewaan masuk dahulu. Yang lain tidak pasti berapa lama baru boleh lepas kerana sekali jalan feri boleh muat empat atau enam kereta sahaja.


Jika penulis menaiki bas SPT, destinasi seterusnya tempat penulis turun ialah di Hutan Melintang, Perak. Untuk sampai ke kampung perlu menaiki bas menghala ke Bagan Datuk. Bas Lower Perak Motor Service (LPMS) menyediakan perkhidmatan laluan Teluk Anson—Hutan Melintang—Bagan Datuk.


Tempat turun ialah di Kampung Sungai Haji Mohamad, tujuh kilometer dari pekan Bagan Datuk. Dari sini penulis perlu menempuh perjalanan beberapa kilometer lagi untuk sampai ke rumah. Kalau ada orang kampung di kedai bolehlah tumpang balik.


Jika menaiki kereta api pula, penulis perlu turun di Tapah Road. Dari situ ada perkhidmatan kereta api ke Teluk Anson. Kena tahu betul-betul jadual perjalanan dari Tapah Road ke Teluk Anson. Penulis pernah tidur di stesen Tapah Road kerana terlepas kereta api! Selepas itu serik. Perkhidmatan Tapah Road-Teluk Anson sudah lama dihentikan.


Satu lagi pilihan penulis balik kampung ialah menaiki ‘bas loncat’. Namanya pun loncat, jadi kenalah meloncat menaiki beberapa buah bas. Mula-mula naik bas dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim. Ada yang ekspres ada bas biasa. Baik naik yang ekpsres kerana yang biasa akan berhenti di semua tempat sepanjang perjalanan.


Dari Tanjung Malim naik bas menuju ke Slim River dan seterusnya Sungkai. Dari Sungkai meloncat pula naik bas ke Bidor. Dari Bidor naik bus Hup Soon ke Teluk Anson. Dari situ naik bas LPMS menuju ke Bagan Datuk. Tempat turun sama seperti jika penulis naik bas SPT, di Sungai Haji Mohamad.


Letih turun naik bas, selain mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi. Kalau bertolak pagi pun menjelang lewat petang baru sampai.

Keletihan lebih terasa kerana berpuasa. Semua dilupa apabila teringat lambaian desa!


Kini syukur penulis tidak perlu risau jika tiket bas habis. Juga tidak perlu naik bas loncat. Kenderaan sendiri memudahkan perjalanan.

Namun kenangan berdekad lalu akan sentiasa bersemadi kerana ia banyak memberi pengajaran dalam hidup. Yang pasti kampung halaman sentiasa bermain di mata. – nasionalkini.my

tar 4

Tart nanas nyonya air tangan Fatheen laris, 30,000 biji ‘dipinang’ peminat

aqsa solat

Kira-kira 120,000 penuhi Masjid al-Aqsa untuk solat sunat Aidilfitri