in

DUN Selangor bubar Jumaat

Seramai 9,773,571 orang layak mengundi pada PRN kali ini - Gambar hiasan

SHAH ALAM, 19 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan pada Jumaat ini, dua hari sebelum genap tempoh penggalnya selama lima tahun pada Ahad.

Langkah itu memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran diwartakan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mendapat perkenan pembubaran DUN itu selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pagi ini, lapor BH.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan 41 daripadanya adalah milik Pakatan Harapan (PH), lima kerusi Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) (tujuh) dan PEJUANG (tiga) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Februari lalu, enam negeri mencapai persetujuan untuk membubarkan DUN masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

Selain Selangor, lima negeri lain ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang yang ditadbir PH, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu pula di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan Kelantan akan membubarkan DUN pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula, dijadual menyembahkan cadangan untuk pembubaran DUN Kedah pada 28 Jun ini, sekali gus PRN diadakan serentak bersama lima lagi negeri lain.

Ia menjadikan Kedah negeri keempat mengumumkan tarikh pembubaran DUN selepas Kelantan, selain Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing pada 28 dan 30 Jun.

Sehingga semalam, hanya Terengganu masih berteka-teki berikutan belum memutuskan tarikh pembubaran DUN negeri itu, walaupun tempoh penggal pentadbirannya genap lima tahun, hujung bulan ini. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

Ringgit kembali lemah pagi ini

Gandingan Search – Barbarik untuk Double Trouble 2