in

Projek HSR hanya dibincang lepas ada keputusan awal Malaysia-Singapura

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Cadangan baharu berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya akan dibincangkan dengan republik itu selepas adanya keputusan awal di peringkat kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan baharu itu akan dibawa oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk perhatian Singapura kelak.

“Itu belum, …baharu peringkat kita, sebaik ada keputusan awal baharulah akan diangkat oleh menteri, Anthony Loke kepada perhatian Singapura,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia, hari ini, lapor BH.

Sebelum ini, kerajaan Singapura menjelaskan belum menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berhubung projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat, dilaporkan berkata republik itu sedia berbincang dengan Malaysia mengenai pelaksanaan semula projek HSR.

Pada 12 Julai lalu, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) mengumumkan pelaksanaan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, berkata mandat diserahkan kerajaan kepada MyHSR bagi melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura itu adalah dengan pelaksanaannya tidak membabitkan kos daripada kerajaan.

Ini bermakna, projek yang tertunda itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa menggunakan dana dan jaminan daripada kerajaan.

Justeru, katanya, pihaknya mempelawa syarikat swasta tempatan dan luar negara yang berminat untuk menghantar cadangan konsep dengan masing-masing kepada MyHSR.- nasionalkini.my

korea

Tikaman rambang: seorang maut, 14 cedera di Korea Selatan

kg cina

Markas, bendera PAS dirosak : Polis Terengganu